Pencegahan, pengesanan awal mengurangkan risiko penyakit buah pinggang kronik



Siaran Akhbar dan Foto : Kementerian Kesihatan





BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 11 Mac. - Penyakit buah pinggang kronik atau Chronic Kidney Disease (CKD) merupakan antara cabaran utama kesihatan awam di peringkat global dan mencatat peningkatan yang ketara dari semasa ke semasa.


Dianggarkan hampir 10 peratus daripada penduduk dunia, iaitu melebihi 850 juta orang, terjejas akibat pelbagai jenis penyakit buah pinggang. Keadaan ini menjadikan CKD antara penyumbang utama kepada kematian di seluruh dunia.


Seiring dengan peningkatan jangka hayat penduduk serta pertambahan penyakit tidak berjangkit seperti diabetes dan tekanan darah tinggi, jumlah individu yang menghidap CKD dijangka akan terus meningkat.


Perkara demikian dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, dalam perutusan sempena Sambutan Hari Buah Pinggang Sedunia 2026 (World Kidney Day-WKD 2026), dengan tema 'Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua : Menjaga Manusia, Melindungi Bumi' (Kidney Health for All : Caring for People, Protecting the Planet).


Jelas Yang Berhormat lagi, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organization - WHO), melalui Perhimpunan Kesihatan Sedunia Ke-78, telah mengiktiraf penyakit buah pinggang sebagai satu keutamaan kesihatan global. Pengiktirafan berkenaan menegaskan bahawa tindakan segera dan kerjasama yang bersepadu di peringkat antarabangsa serta kebangsaan amat diperlukan bagi menangani peningkatan kes penyakit ini.


Penyakit CKD tambah Yang Berhormat ialah keadaan jangka panjang dengan fungsi buah pinggang semakin merosot secara beransur-ansur. Pada peringkat awal, penyakit berkenaan sering berlaku secara senyap tanpa gejala yang jelas, menyebabkan ramai individu tidak menyedari bahawa mereka menghidapnya.


"Jika tidak dikesan atau dirawat, CKD boleh berkembang kepada Penyakit Buah Pinggang Tahap Akhir (End-Stage Kidney Disease, ESKD), iaitu tahap paling serius apabila buah pinggang tidak lagi mampu menjalankan fungsi penting bagi menyokong keperluan badan.


"Pada tahap ini, rawatan seperti dialisis atau pemindahan buah pinggang diperlukan untuk membolehkan pesakit meneruskan kehidupan dengan baik.


"Di Negara Brunei Darussalam (NBD), CKD telah menjadi cabaran kesihatan awam yang serius dan semakin meningkat, dengan kadar Penyakit Buah Pinggang Tahap Akhir (ESKD) antara yang tertinggi di dunia," kata Yang Berhormat.


Yang Berhormat juga mengongsikan data daripada Brunei Dialysis and Transplant Registry (BDTR), seramai 1,163 individu direkodkan menghidap ESKD pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 7 peratus berbanding 2024.


Trend berkenaan jelas Yang Berhormat lagi, bukan sahaja menunjukkan peningkatan kes kegagalan buah pinggang, malah turut menekankan bilangan penduduk yang terjejas dari segi kesihatan dan kualiti hidup.


Pada tahun ini kata Yang Berhormat, WKD disambut pada 12 Mac 2026 dengan tema 'Kesihatan Buah Pinggang Untuk Semua : Menjaga Manusia, Melindungi Bumi'.


Caring for People terang Yang Berhormat lagi, menekankan kepentingan pencegahan, pengesanan awal, dan pengurusan CKD yang berkesan, terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi seperti pesakit diabetes dan hipertensi. Intervensi awal dapat mengurangkan risiko penyakit berkenaan berkembang kepada kegagalan buah pinggang serta meningkatkan peluang pesakit untuk terus hidup lebih lama.


"Protecting the Planet pula menekankan bahawa penjagaan pesakit dengan ESKD memerlukan penggunaan sumber yang besar. Rawatan hemodialisis merupakan rawatan yang menyelamatkan nyawa bagi pesakit ESKD.


"Walau bagaimanapun, rawatan ini juga antara yang paling intensif dari segi penggunaan sumber dalam sistem kesihatan moden. Satu sesi hemodialisis memerlukan jumlah air terawat yang banyak, penggunaan elektrik yang tinggi, dan pelbagai bahan pakai buang seperti alat dialisis, tiub, serta peralatan perlindungan.


"Dengan bertambahnya bilangan pesakit yang memerlukan dialisis jangka panjang di NBD, keperluan untuk memastikan penjagaan buah pinggang yang lestari menjadi satu cabaran utama," ujar Yang Berhormat.


Yang Berhormat selanjutnya berkata, selaras dengan tema tahun ini, Sambutan WKD 2026 di NBD memberi penekanan kepada pencegahan dan pengesanan awal sebagai asas kepada penjagaan buah pinggang yang mampan.


Kementerian Kesihatan kata Yang Berhormat, terus memperkukuh strategi menyeluruh yang merangkumi saringan berasaskan risiko, kerjasama erat dengan penjagaan kesihatan asas, serta akses tepat pada masanya kepada ubat-ubatan penting yang terbukti berkesan.


Selaras dengan konsep 'Protecting the Planet', Yang Berhormat menjelaskan Kementerian Kesihatan komited untuk memperkukuh amalan penjagaan kesihatan buah pinggang yang berkualiti dengan secara bertanggungjawab, termasuk menggalakkan rawatan di rumah, khususnya dialisis 'peritoneal', bagi memastikan kesihatan pesakit terjaga sambil menggunakan sumber negara dengan lebih cekap, sekali gus menyumbang kepada perlindungan alam sekitar.


Rawatan buah pinggang di rumah tambah Yang Berhormat lagi, menawarkan kelebihan alam sekitar yang penting berbanding rawatan di pusat dialisis. Pendekatan berkenaan bukan sahaja memperkasa pesakit, malah turut menyumbang kepada sistem penjagaan kesihatan jangka panjang yang berterusan dan lestari.


Terang Yang Berhormat lagi, antara kelebihannya ialah mengurangkan pelepasan karbon daripada perjalanan kerap ke pusat dialysis; mengurangkan beban terhadap infrastruktur pusat dialisis, mengoptimakan penggunaan sumber di pusat dialysis, dan menggalakkan pesakit lebih berdikari serta meningkatkan kualiti hidup.


Selain itu, Yang Berhormat turut menjelaskan pemindahan buah pinggang kekal sebagai rawatan jangka panjang yang paling berkesan dan mampan bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang. Berbanding dialisis berterusan, pemindahan buah pinggang mengurangkan penggunaan sumber kesihatan dalam jangka panjang dan meningkatkan kadar kelangsungan hidup serta kualiti hidup pesakit.


Dalam pada itu kata Yang Berhormat, Kementerian Kesihatan akan terus memperkukuh laluan rujukan untuk penilaian pemindahan buah pinggang, memastikan prosedur pemindahan buah pinggang setiap tahun, secara tempatan dan serantau, mencapai sasaran prestasi yang ditetapkan; memperkukuh kerjasama dengan pusat pemindahan di peringkat serantau, menggalakkan kesedaran awam mengenai pendermaan organ, dan menyokong pemantauan dan penjagaan jangka panjang selepas pemindahan.


"Bebanan penyakit buah pinggang yang semakin meningkat memerlukan tanggungjawab bersama serta tindakan bersepadu di peringkat negara. Melalui kerjasama antara penyedia penjagaan kesihatan, komuniti dan setiap individu, kita dapat mengurangkan kegagalan buah pinggang yang boleh dicegah, melindungi sumber penjagaan kesihatan negara, serta memelihara kesejahteraan generasi akan datang.


"Oleh itu, ambillah peluang untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengetahui status kesihatan masing-masing. Pencegahan dan pengesanan awal hanya akan berjaya dengan kesedaran serta kerjasama semua pihak, iaitu anggota kesihatan, pesakit, keluarga dan masyarakat.


"Marilah kita bersama-sama mengambil langkah menjaga kesihatan demi masa depan yang lebih sihat dan sejahtera, selaras dengan visi negara 'Bersama Ke Arah Warga Sihat'," ujar Yang Berhormat mengakhiri perutusannya.


Close